Tok Wan MB terbaik

Tok Wan MB terbaik

KUANTAN: “Rasanya, inilah MB (YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) terbaik… dia nampak kesusahan rakyat,” kata pemandu teksi, Mohd Shurri Mohd Yusof, 61, dari Kampung Kempadang di sini.

Mohd Shurri antara 206 pemandu teksi di daerah ini yang menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Fasa 2 – Kluster Pemandu Teksi di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, hari ini.

Kata Mohd Shurri, ‘penangan’ COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) begitu mencabar buat dirinya sebagai pemandu teksi apabila kehilangan pendapatan akibat ketiadaan penumpang.

“Saya cuma boleh ambil upah belikan barang dan makanan untuk dihantar kepada pelanggan. Setidak-tidaknya dapat juga menampung perbelanjaan ketika itu walaupun jumlahnya jauh berkurangan.

“Lebih teruk apabila saya sendiri dijangkiti COVID-19. Mujur kerajaan negeri faham dengan kepayahan yang kami alami dan memberi bantuan seperti ini.

“Sebab itu bagi saya, Tok Wan (Wan Rosdy) MB terbaik yang prihatin dan nampak kesusahan rakyat,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang, hari ini.

Bagi Wan Anuar Wan Mustaffa, 42, dari Bukit Goh, bantuan berkenaan sememangnya amat diperlukan selepas terpaksa mengharungi fasa pandemik COVID-19 selain kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini.

“Terima kasih yang teramat sangat kepada Kerajaan Pahang dan Tok Wan atas bantuan ini,” katanya yang mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 75 peratus ketika pandemik COVID-19 lalu.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, seramai 704 pemandu teksi seluruh Pahang menerima bantuan itu dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM140,800.

“Kita menyedari pemandu teksi antara golongan paling terkesan tatkala penularan COVID-19 melanda seluruh dunia. Ketika pelaksanaan beberapa fasa PKP terutamanya ketika fasa ‘total lockdown’

sudah pasti pendapatan hilang sepenuhnya.

“Ini adalah sebahagian daripada pengumuman peruntukan hampir RM30 juta April lalu dan kita pastikan tiada sesiapa pun yang layak (menerima bantuan) tertinggal,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN