KUANTAN: Untuk pertama kali dalam sejarah, Belanjawan Pahang 2023 pagi esok dibentangkan lebih awal berbanding Kerajaan Pusat.
Pembentangan yang akan dilakukan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail itu dijadualkan kira-kira enam jam sebelum Kerajaan Pusat membentangkan belanjawan di peringkat persekutuan.
Pada masa sama, ia juga menandakan bermulanya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) terakhir sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengajak rakyat Pahang untuk menonton pembentangan Belanjawan Pahang 2023 di Facebook rasminya, jam 10.30 pagi esok.
“Esok adalah hari yang paling dinanti-nantikan warga Pahang. Ayuh semua, kita tonton pembentangan Belanjawan Pahang 2023 yang akan bersiaran secara ‘live’ (langsung) di laman Facebook saya pada hari esok jam 10.30 pagi.
“Justeru, ikuti pelbagai inisiatif yang bakal dibentangkan dalam Belanjawan Pahang kali ini untuk dimanfaatkan rakyat Pahang semua demi mencapai kesejahteraan bersama,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN