Tok Wan ngajok anok muda masuk askar wataniah

Tok Wan ngajok anok muda masuk askar wataniah

KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengajak golongan belia di Pahang menyertai sukarelawan Askar Wataniah.

Beliau berkata, pembabitan sebagai askar wataniah dapat menunjukkan sifat patriotisme tinggi dan kesungguhan untuk berjuang demi tanah air tercinta.

“Oleh itu, besarlah harapan saya agar lebih ramai golongan belia menyertai sukarelawan Askar Wataniah pada masa akan datang.

“Ia juga menunjukkan sifat patriotisme yang tinggi serta kesungguhan untuk berjuang demi tanah air yang kita cintai ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian sempena sambutan ulangtahun Rejimen Askar Wataniah Ke-64 hari ini.

Katanya, Rejimen Askar Wataniah dengan motto ‘Berkhidmat Untuk Negara’ berperanan sebagai benteng kedua dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman.

“Justeru, penyertaan rakyat dalam Rejimen Askar Wataniah adalah satu sumbangan dan bakti besar kepada bangsa dan negara.

“Di kesempatan ini, saya mewakili pentadbiran dan seluruh rakyat Pahang mengucapkan selamat menyambut Hari Ulangtahun Rejimen Askar Wataniah Ke-64 kepada semua pegawai dan anggota Askar Wataniah,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN