Tok Wan ngajok aokmer prihatin dengan penyakit mental

Tok Wan ngajok aokmer prihatin dengan penyakit mental

KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengajak masyarakat di negeri ini lebih prihatin terhadap isu kesihatan mental.

Beliau berkata, selain bimbang dengan peningkatan pesakit mental, beliau turut khuatir mengenai kurangnya pemahaman terhadap penyakit mental yang sehingga mendorong kepada kemungkinan pelabelan negatif dan sikap menghukum oleh masyarakat.

“Sejak kebelakangan ini, isu kesihatan mental menjadi tajuk besar yang mengundang kebimbangan dan perhatian banyak pihak.

“Masyarakat kita harus dibudayakan untuk bersimpati dan membuang stigma negatif yang menghukum pesakit mental dengan pelbagai label. Kita harus menyokong ke arah pemulihan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak lebih prihatin terhadap isu kesihatan mental dan bergerak ke arah membantu menanganinya.

“Inilah bentuk Keluarga Malaysia Sejahtera yang kita semua inginkan. Selamat menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN