Tok Wan pesan sayangi harta, jangan jual tanah

Tok Wan pesan sayangi harta, jangan jual tanah

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Rakyat negeri ini yang menerima surat hak milik tanah diingatkan supaya tidak menjualnya untuk jaminan masa depan mereka.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ini kerana tanah yang dimiliki adalah harta bernilai yang perlu dikekalkan hak miliknya.

Justeru, katanya, sebaiknya tanah itu dibangunkan termasuk mendirikan rumah kerana kesukaran untuk mendapatkan tanah.

“Kita tidak menggalakkan mereka untuk menjual tanah. Jika jual memang sukar untuk mereka mendapatkan tanah kerana proses permohonan memerlukan tempoh panjang.

“Sehubungan itu, kerajaan harap pemilik surat hak milik tanah kekal tidak menjual tanah mereka,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan surat hak milik tanah kepada 81 penerima dan bantuan wang ihsan mangsa banjir 2021, di Dewan Taman Sepakat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Abd Rahim Muda dan Timbalan Menteri Kewangan 1 yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.

Sekurang-kurangnya 2,990 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan daripada kerajaan dengan masing-masing menerima RM500 hasil peruntukan RM1.495 juta.

Bantuan itu dibiayai Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABN) yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).