LIPIS: Kadar kelahiran di Pahang sangat rendah dan usaha perlu dilakukan untuk menambah bilangan rakyat negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan pada 2020, purat kadar kelahiran di Pahang pada sekitar 25,279 bayi setahun.
Oleh itu, katanya, kerajaan negeri menaikkan Insentif Khas Pasangan Pengantin (IKPP) bagi perkahwinan kali pertama daripada RM200 kepada RM250 bagi setiap pengantin anak Pahang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, mulai tahun ini.
Wan Rosdy berkata, langkah menaikkan IKPP itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 14,000 pasangan pengantin di Pahang.
Katanya, melalui IKPP yang diperkenalkan sejak 2020 bertujuan menarik minat belia untuk cepat berkahwin di samping antara usaha membantu meringankan beban pengantin.
Menurutnya, perkahwinan ini mestilah didaftarkan di Pahang dengan kebenaran Pejabat Agama Islam Daerah.
Katanya, perkahwinan anak Pahang yang didaftarkan di luar negeri Pahang mendapat pengesahan di pejabat agama.
Beliau berkata, kerajaan negeri belum lagi berhasrat membuka insentif itu bagi pasangan yang berkahwin untuk perkahwinan kali kedua, ketiga dan keempat.