KUANTAN: Sekitar 500 pesara kerajaan diraikan pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas dan Jubli Emas Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Majlis itu dihadiri YAB Menteri Besar, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail sebagai tanda terima kasih beliau atas jasa dan pengorbanan golongan pesara ketika berkhidmat bersama kerajaan negeri.
“Di kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pesara kerajaan yang telah berusaha membangunkan negara sehinggakan nikmatnya dapat kita kecapi ke hari ini.
“Saya difahamkan keahlian Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Pahang ini berjumlah 5,000 orang seluruh Pahang.
“Oleh itu, saya berharap di usia emas ini tuan-tuan dan puan-puan dapat menjaga kesihatan serta mengawal pemakanan agar terus kekal cergas untuk menjalani aktiviti harian,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN