Tok Wan sedia pertahan kerusi Jelai

Tok Wan sedia pertahan kerusi Jelai

KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri  Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan kesediannya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang menyandang kerusi DUN itu bagi empat penggal berkata, ia bagaimanapun bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sama ada mahu beliau kekal bertanding di situ atau di tempat lain.

“Kalau pucuk pimpinan memberi keizinan, beri peluang untuk bertanding, saya bersedia mempertahankan DUN Jelai,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Pahang (i-Push) 2022 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, hari ini. 

Seramai 751 daripada keseluruhan 2,500 peniaga terpilih menerima pembiayaan antara RM3,000 hingga RM10,000 hari ini. 

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, UMNO dan BN Pahang belum memutuskan senarai calon untuk mewakili gabungan itu dan masih menunggu hasil mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadualkan pada 20 Oktober ini. 

“Pemilihan (calon) membabitkan kombinasi muka lama, muka sederhana lama dan muka baru dan setakat ini saya belum buat analisa lagi mengenai cadangan (peratusan calon muda) untuk pilihan raya kali ini,” katanya. 

“Bagaimanapun setiap calon ditampilkan UMNO dan BN perlu dirujuk kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk tujuan tapisan,” katanya yang menyandang kerusi DUN Jelai sejak 2004. – HELMY ABD RAHMAN