Tok Wan serah bantuan untuk mangsa banjir

Tok Wan serah bantuan untuk mangsa banjir

LIPIS: Sekurang-kurangnya 241 ketua isi rumah ( KIR) mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, masing-masing menerima sumbangan RM500 Bantuan Wang Ihsan Banjir.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan sejumlah RM120,500 itu adalah sumbangan yang disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) kepada mangsa.

“Saya harap bantuan ini dapat mengurangkan beban buat 241 penerima. Semoga tahun depan semua mangsa tidak kena banjir dah. Tapi kalau kena lagi (banjir), kerajaan negeri setuju untuk menaikkan bantuan RM500 kepada RM1,000 setiap KIR,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Jelai berkata demikian ketika berucap semasa Program Penyerahan Bantuan Banjir dan Penyerahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) DUN Jelai, di Laman Sejahtera Sungai Koyan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda; ADUN Padang Tengku, Dato’ Mustapa  Long; ADUN Cheka,  Lee Ah Wong dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Di majlis itu Menteri Besar turut menyampaikan replika kunci rumah kepada penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi kawasan DUN Jelai dan menyerahkan pelbagai bantuan kepada 26 penerima yang lain.

Replika kunci rumah disampaikan kepada 12 penerima RRP di daerah ini, termasuk empat di DUN Jelai,  DUN Cheka (2), DUN Benta (2), DUN Padang Tengku (2), Parlimen Lipis (1) dan Parlimen Cameron Highlands (1) 

Menurutnya, Kerajaan Pahang akan memperuntukkan tambahan enam rumah di setiap DUN dengan anggaran kasar kira-kira RM11 juta, pada tahun hadapan.

“Tambahan rumah RRP ini akan dibawa untuk perbincangan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ia juga bergantung kepada implikasi kewangan negeri pada tahun hadapan,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE