KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerima Ijazah Doktor Kehormat Bidang Politik dan Kerajaan daripada Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) pada Istiadat Konvokesyen 2022 UCYP dan Kolej Yayasan Pahang yang berlangsung hari ini.
Dilahirkan pada 1 Oktober 1958, Wan Rosdy pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kanan di PadiBeras Nasional (BERNAS) sebelum menceburi bidang politik.
Beliau yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-14 pada 15 Mei 2018 menggantikan Tan Sri Diraja Adnan Yaakob dan memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang.
Beliau yang mula bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai sejak 2004, pernah dilantik EXCO Perumahan dan Perbandaran negeri dan EXCO Pembangunan luar bandar dan Hal Ehwal Orang Asli (2008-2013) sebelum berkhidmat sebagai Menteri Besar.
Wan Rosdy pernah mengambil Diploma Pengajian Perdagangan Institut Teknologi Mara (kini dikenali UiTM) dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Sains Politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau yang berkahwin dengan Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed, telah dikurniakan tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan. – HELMY ABD RAHMAN