KUANTAN: Lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ dan ‘Happy Birthday’ yang ditujukan kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkumandang di Dewan Utama Pahang Skills hari ini yang didendangkan kira-kira 1,000 hadirin yang memenuhi dewan terbabit.
Ia susulan pengumuman dilakukan pengacara majlis selepas selesai Majlis Konvokesyen Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang Skills) kali ke-11 yang diadakan di dewan itu.
Wan Rosdy atau lebih mesra disapa Tok Wan yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-64 hari ini, turut diraikan dengan hadiah kek hari jadi oleh pihak pengurusan Pahang Skills.
Terdahulu, YAB Menteri Besar sempat menyampaikan diploma dan sijil kepada 351 graduan Pahang Skill bagi menyempurnakan majlis konvokesyen berkenaan.
Dalam ucaptamanya, Wan Rosdy berkata, beliau amat berpuas hati kerana Pahang Skills mempunyai rekod perbelanjaan cemerlang,iaitu peruntukan kerajaan negeri digunakan 100 peratus mengikut perancangan dan dalam tempoh masa ditetapkan.
Katanya, bagi meneruskan pembangunannya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM64 juta untuk pembinaan projek Kompleks Pentadbiran Baharu dan Asrama Pintar Pahang Skills.
“Projek ini dibangunkan bak serampang dua mata, sambil menyediakan kompleks pentadbiran kondusif selaras dengan perkembangan Pahang Skills, ia turut berperanan meningkatkan imej sebagai penyedia pusat latihan di Pahang yang berteraskan kemahiran.
“Projek yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun ini akan dapat menampung keperluan penginapan pelajar serta peserta kursus yang menghadiri kursus jangka panjang dan jangka pendek di Pahang Skills,” katanya.
Hadir sama, EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Pahang Skills, Dato’ Mas’ut Awang Samah. – HELMY ABD RAHMAN