Tok Wan tersentuh hati dengan mangsa banjir di Janda Baik

Tok Wan tersentuh hati dengan mangsa banjir di Janda Baik

KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tersentuh hati sebaik bertemu mangsa banjir di Janda Baik, Bentong, semalam.

Beliau berkata, perasaan itu dirasai kerana dua kali rumah mereka dilanda banjir dalam tempoh enam bulan.

“Tersentuh hati saya saat bertemu mangsa banjir di Janda Baik sebentar tadi (semalam). Simpati benar saya kerana dua kali rumah mereka dilanda banjir dalam tempoh enam bulan.

“Dalam pertemuan bersama mereka, saya menyerahkan sumbangan sebanyak RM300 untuk setiap keluarga,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa terbabit sebelum ini sudah menerima sumbangan awal ketika bencana banjir baru-baru ini sebanyak RM500 daripada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pahang (RM200).

“Ini bermakna jumlah keseluruhan yang mereka terima setakat ini adalah sebanyak RM1,000 bagi setiap keluarga,” katanya.

Semalam, Wan Rosdy mengadakan pertemuan dengan 160 mangsa banjir di Janda Baik dan turut menyampaikan bantuan.

Pada pertemuan itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM44 juta bagi persediaan awal menghadapi bencana banjir di negeri ini termasuk di Bentong.

“Saya sentiasa memberi perhatian khusus terhadap bencana banjir yang melanda Pahang termasuk di Bentong.

“Faktor cuaca tidak menentu ekoran taburan hujan terlalu tinggi di Bentong turut membawa risiko besar kejadian banjir kilat. Semoga penduduk di sini diberi kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN