Tok Wan tinjau persiapan bomba hadapi tengkujuh 

Tok Wan tinjau persiapan bomba hadapi tengkujuh 

KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengadakan lawatan ke ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di sini, hari ini.

Facebook rasmi JBPM Pahang memaklumkan Wan Rosdy hadir bagi meninjau sendiri tahap kesiapsiagaan jabatan itu bagi menghadapi tengkujuh.

Sempena lawatan itu, Pengarah JBPM Pahang, Dato’ Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa menyampaikan taklimat berkaitan persiapan bomba Pahang serta kerjasama antara agensi serta strategi yang dirancang bagi menghadapi banjir.

Di kesempatan itu juga diadakan kejutan sambutan hari ulang tahun kelahiran ke-64 Wan Rosdy, hari ini.

“Kami warga bomba Pahang mendoakan agar Allah SWT mengurniakan pemimpin kami ini kesihatan yang baik, kekuatan dan pemikiran yang tajam bagi mentadbir negeri Pahang Darul Makmur.

“Didoakan juga, pemimpin ini dikurniakan umur yang panjang serta sentiasa di bawah lindungan Allah SWT,” katanya menerusi Facebook itu.

Pada sidang media 14 September lalu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM47 juta bagi menghadapi tengkujuh yang dijangka bermula November depan hingga Mac 2023.

“Peruntukan itu merangkumi pembelian aset dan pembinaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal di Maran,” kata Wan Rosdy. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN