Tok Wan tunai janji, turun padang tangani isu bekalan air

Tok Wan tunai janji, turun padang tangani isu bekalan air

KUANTAN: YAB Menteri Besar menunaikan janjinya apabila turun padang untuk mencari penyelesaian terhadap masalah bekalan air di negeri ini, semalam. 

Sebagai permulaan, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, turun mengadakan perbincangan dan mendengar taklimat daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi daerah Cameron Highlands dan Jelai.

“Seperti mana janji saya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Jumaat lalu (1 April), bahawa saya sendiri akan turun padang menjelajah setiap daerah di Pahang.

“Saya akan mengadakan mesyuarat bersama PAIP daerah dan juga pemimpin masyarakat di kawasan itu. Ia bukanlah mesyuarat biasa. Tapi, mesyuarat yang memberi fokus kepada membincangkan hala tuju dan langkah penyelesaian isu bekalan air.

 “Justeru, pada petang ini (semalam) saya tunaikan janji dan turun padang untuk mendengar taklimat daripada pegawai PAIP Cameron Highlands dan Lipis mengenai penambahbaikan sistem bekalan air daerah Cameron Highlands dan kawasan Jelai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari; Pengurus PAIP daerah dan juga pemimpin masyarakat.

Justeru, Wan Rosdy meminta PAIP untuk melakukan beberapa penambahbaikan untuk memastikan perkhidmatan lebih cekap dan berkualiti dapat disediakan kepada rakyat.

“Selepas ini, saya akan turun ke daerah lain seperti yang dijanjikan untuk memastikan rakyat Pahang mendapat akses bekalan air yang sempurna,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN