KUANTAN: Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bangga dengan pencapaian Maryam Muzamir yang sekali lagi mengharumkan nama negara selepas memenangi dua pingat emas di British Invention Show (BIS 2022).
YAB Menteri Besar itu berkata, pencapaian murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, di sini, amat baik kerana pertandingan itu tidak mempunyai had umur.
“Lebih manis, ini adalah kemenangan kali kedua Maryam selepas meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Ciptaan, Inovasi Antarabangsa Keenam di Toronto, Kanada pada Ogos 2021.
“Berita ini sudah tentu menjadi kebanggaan kita kerana anak jati Pahang telah mengharumkan nama Pahang di pentas antarabangsa.
“Tahniah adik Maryam! Kebanggaan Pahang!, kata Wan Rosdy menerusi hantaran di Facebook.
Pada pertandingan itu, Maryam, 12 memenangi ‘Double Gold Award’ dan ‘Chairman’s Special Recognition Award – Young Ambassador of Innovation’ di pertandingan ciptaan dan inovasi paling lama di United Kingdom.
Kejayaan itu diraih hasil ciptaan inovasi makanan ternakan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan YAM 2.0. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN