KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada Dato’ Sri Mohd Johari Hussain atas kejayaannya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.
Wan Rosdy juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang bertungkus lumus demi kemenangan Mohd Johari.
“Setinggi-tinggi tahniah atas kemenangan calon BN di DUN Tioman, YB Dato’ Sri Mohd Johari Hussain. Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua jentera BN dan PH yang bertungkus lumus demi kemenangan calon kita secara langsung mahupun tidak langsung.
“Kerajaan Pahang akan terus pastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini sentiasa terjamin, insya-Allah. Sekarang masa untuk berkerja,” katanya di laman Facebook rasminya, malam ini.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi DUN berkenaan, Mohd Johari memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim dengan majoriti 573 undi.
Nor Idayu mendapat 7,507 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang sebelum ini mengumumkan menarik diri mendapat 784 undi.
Dua lagi calon, Osman Bakar daripada Pejuang dan Sulaiman Bakar (Bebas) hilang wang pertaruhan.
PRU15 DUN Tioman diadakan lewat susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin, pada 19 November lalu. – HELMY ABD RAHMAN