Tok Wan yakin BN Pahang mampu tawan 30 kerusi DUN

Tok Wan yakin BN Pahang mampu tawan 30 kerusi DUN

BERA: Barisan Nasional (BN) Pahang optimis mampu menawan setidak-tidaknya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

YAB Pengerusi BN Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata BN negeri juga bertekad memastikan PAS tewas lapan kerusi DUN yang dimenangi pada PRU14. 

 “Dulu mereka (PAS) bersama dengan kita, sekarang lambang dia dah tak ada, takde dah lambang itu nak bertanding, dah jadi Perikatan Nasional (PN). PAS sanggup ‘kehilangan’ lambang perjuangan mereka apabila menyertai PN. 

“Yang ini pun tuan-puan, kita pastikan mereka ada lapan kerusi (DUN) sekarang, kita pastikan mereka pun tidak ada kerusi di negeri Pahang, insya-Allah,” katanya ketika berucap pada program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran BN Pahang di Bera, hari ini. 

Hadir sama, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi; YAB Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan barisan kepemimpinan BN peringkat negeri dan nasional.

Pada PRU14 lalu, PAS memenangi lapan kerusi DUN iaitu di Tanjung Lumpur yang dimenangi Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar; Andansura Rabu (Beserah); Tarmizi Yahya (Panching); Mohd Sufian Abdul Jalil (Luit); Mujiburahman Ishak (Chenor); Shahril Azman Abdul Halim (Jengka); Mohd Zakhwan Ahmad Badardin (Tahan) dan Zuridan Daud (Damak). – HELMY ABD RAHMAN