KUANTAN: Kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma dan diskaun sehingga 50 peratus kepada pengguna lebuh raya utama negara bermula kira-kira 12 tengah malam Sabtu ini hingga 11.59 malam pada 1 Mei depan.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu diputuskan kerajaan selepas rundingan dengan 30 syarikat konsesi lebuh raya.
Katanya, secara keseluruhannya nilai tol percuma dan diskaun itu adalah RM77.11 juta.
“Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemberian tol percuma akan membabitkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (Plus) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara dan selatan serta Anih Berhad (Anih) yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kepada semua kelas kenderaan.
“Tidak seperti tahun sebelum ini, pemberian tol percuma di Lebuhraya Utara Selatan dan LPT juga akan diberikan untuk pengguna yang akan pulang semula ke kediaman masing-masing bermula kira-kira 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 hingga 11.59 malam pada 8 Mei depan.
“Tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.
“Diharapkan dengan pemberian percuma dan diskaun tol akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN