Kuantan 7 April 2024 (FIKRAH PAHANG) Masyarakat Islam perlu berwaspada dan menolak fahaman Khawarij, Takfiri dan apa sahaja ajaran yang menyeleweng, kata Mufti Pahang, Dato’ Dr Asmadi Mohamed Naim.
Beliau menyeru agar masyarakat tidak membiarkan diri mereka terperangkap dalam jaringan ajaran sesat. Mereka perlu merujuk kepada ahli-ahli agama yang bertauliah dan berautoriti sekiranya terdapat sebarang kekeliruan serta ajaran yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Jabatan Mufti negeri Pahang menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya menjauhi apa juga bentuk ajaran menyeleweng atau sesat dengan berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Katanya lagi, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dari semasa ke semasa dan akan sentiasa memantau sebarang bentuk ajaran atau fahaman yang mencurigakan agar ia dapat dibendung dan ditangani dengan sebaik-baiknya demi kesucian akidah umat Islam di negeri ini terus terpelihara
“Semoga kita teguh bersama-sama melindungi diri kita, keluarga dan masyarakat daripada sebarang bentuk ancaman ajaran atau fahaman yang menyeleweng atau sesat,” katanya.
Oleh: Kabhi Ismail