Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Kemunculan pukat lama yang dibuang dikenali ‘pukat hantu’ di perairan Pulau Tioman mengancam hidupan laut dan menyebabkan kematian penyu.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, pada 2019 dua penyu agar dewasa ditemui mati tersangkut pada pukat hantu bersaiz besar di dasar laut.
“Perbuatan membuang pukat hanyut, tunda yang lama dan koyak ke laut oleh sebilangan nelayan membawa ancaman kepada hidupan laut. Oleh itu, kami terpaksa menyelam untuk membawa keluar pukat hantu.
“Dalam 10 bulan tahun ini kita mengumpul lebih 600 kilogram pukat hantu di beberapa kawasan laut sekitar Tioman seperti Pulau Tulai, Pulau Labas dan Pulau Sepoi.
“Kawasan terumbu karang di Tioman juga akan musnah sekiranya usaha membuang pukat hantu tidak dilakukan dengan serius secara berterusan,” katanya.
Menurutnya, setiap tahun jabatan mengadakan kempen kesedaran berhubung bahaya kehadiran pukat hantu.