Tolong patuh SOP jika dah boleh rentas negeri nanti

Tolong patuh SOP jika dah boleh rentas negeri nanti

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Hanya berbaki 1.2 peratus bagi mencapai tuntutan vaksinasi penuh 90 peratus penduduk dewasa sebelum kelonggaran merentas negeri dibenarkan. 

Sehingga ini, 88.8 peratus atau 20,786,568 individu dewasa di negara ini sudah lengkap menerima imunisasi Covid-19.

Bagi penerima satu dos pula, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID (JKJAV) memaklumkan vaksinasi dewasa sudah mencapai 94.6 peratus atau 22,135,242 individu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi portal BH Online, hari ini, dipetik sebagai berkata, kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai yang mahu melakukan pergerakan rentas negeri nanti mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) asas.

Beliau turut menyarankan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 secara kendiri menggunakan air liur dengan kerap, bagi menjaga keselamatan individu tersayang, khususnya jika mahu pulang ke kampung halaman.

Pada 22 September lalu, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kelonggaran rentas negeri hanya akan dibenarkan apabila kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini mencapai 90 peratus.