Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
PEKAN: Sistem saliran yang sempurna diperlukan pesawah skim paya Kampung Merchong, di sini, dalam usaha mereka meneruskan tanaman padi setiap tahun tanpa bergantung sepenuhnya terhadap air hujan.
Faktor sistem pengairan yang tidak sempurna sejak kawasan penanaman padi di situ dibuka menyebabkan pesawah kini berputus asa dan memutuskan tidak akan meneruskan aktiviti menanam padi tahun ini.
Ketua Kumpulan Pengguna Air (KPA), Mansor Ali berkata, permohonan untuk mendapatkan sistem saliran yang diperlukan sudah lama disuarakan namun hingga kini masih tidak menjadi kenyataan.
Menurutnya, sebelum ini semua pesawah hanya mula menanam padi apabila tiba musim tengkujuh kerana mengharapkan hujan di peringkat awal penanaman padi yang menggunakan sistem tabur dan tanpa air yang cukup pokok padi tidak boleh membesar.
Katanya, ramai pesawah yang mengalami kerugian apabila pokok padi yang ditanam mengalami masalah tumbesaran disebabkan masalah bekalan air yang tidak mencukupi.
“Pesawah memerlukan modal kira-kira RM3,000 bagi mengusahakan satu petak sawah semusim dan kebanyakan mereka membuat pinjaman bank sebagai modal. Apabila tanaman padi tidak menjadi pesawah terpaksa berhutang.
“Ramai pesawah tidak dapat membayar hutang apabila sawah yang diusahakan tidak menjadi disebabkan bekalan air tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Demonstrasi Membanting Padi oleh Pesawah KPA Mahsuri Skim Merchong, di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhamad Khalil Idris berkata, seluas 4,113 hektar sawah di skim Merchong dan sebelum ini pesawah menanam padi hanya dapat dilakukan sekali setahun sahaja.
Menurutnya, permohonan untuk menyediakan sistem saliran di skim Merchong sudah dikemukakan kepada Ibu Pejabat Jabatan Pengairan dan Saluran (JPS) di Putrajaya.
Katanya, skim Merchong sebelum ini menyumbang 50 peratus pengeluaran beras di negeri ini dan dua peratus pengeluaran beras negara. Pesawah mampu menghasilkan kira-kira 2.9 tan padi sehektar.
“IADA sentiasa berusaha membantu pesawah dalam usaha mereka meneruskan aktiviti menanam padi setiap tahun dan cabaran utama mereka kini ialah sistem pengairan.
“Pesawah yang tidak dapat mengusahakan tanaman padi terpaksa beralih dengan menanam tanaman kontan seperti labu, jagung dan cili,” katanya.