Oleh Izzah Yusoff
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Seorang lelaki berusia 54 tahun nyaris maut apabila tong gas memasak di rumahnya di Taman Mega Ria, Gambang, tiba-tiba meletup menjelang waktu berbuka puasa, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali berkata, lelaki berkenaan tinggal berseorangan dan dipercayai berada di dalam bilik dan tidak memasak apa-apa ketika letupan itu berlaku.
“Letupan itu berlaku jam 7.10 petang, menyebabkan cermin bahagian pintu hadapan rumah mangsa pecah berkecai.
“Siling dan bumbung rumah mangsa di sekitar ruang dapur dan ruang tamu turut mengalami kerosakan teruk. Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kebakaran dan mangsa juga selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mohd Hilmi berkata, pasukan bomba melakukan pemeriksaan di rumah mangsa bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.
“Operasi ini membabitkan sembilan anggota bomba termasuk unit forensik. Kita juga menggunakan dua jentera pemadam kebakaran,” katanya.
Difahamkan, bomba masih menyiasat punca letupan termasuk kemungkinan kebocoran gas.