BERA: Kekayaan seni budaya tempatan perlu diperjelaskan dengan pertontonkan kepada masyarakat ramai, khusus pelancong asing.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, program merakyatkan seni budaya perlu digalakkan untuk tontonan seberapa kerap yang boleh di tempat kunjungan pelancong.
Beliau berkata, contohnya Indonesia dan Thailand yang menjadikan pertunjukan kebudayaan tempatan mereka sebagai acara wajib dalam jadual pelancongan.
Beliau berkata, aktiviti kebudayaan tempatan juga sebenarnya produk pelancongan yang bernilai tinggi.
Beliau berkata, ia perlulah diperkenalkan secara meluas, terutama untuk buat generasi baru yang mana ada di kalangan mereka masih belum mengenali apa itu produk budaya tempatan seperti sukan rakyat.
Ismail Sabri berkata, aktiviti kebudayaan tempatan juga sangat sesuai dipertontonkan kepada pelancong asing di homestay.
“Contohnya, jika konsep homestay pada asalnya rumah kampung. Tak perlulah rumah sebegitu dibina semula.
“Memadailah dengan bilek yang cukup dan tandas berkeadaan baik,” kata Ismail Sabri ketika berucap di Program Komuniti Keluarga Malaysia – Hogoh Bera – 2021, di Felda Kumai, di sini, hari ini.
Turut YAB Menteri Besar, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail di samping Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Sri Nancy Shukri.
Selain itu, turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Sri Norool Azali Sulaiman.
Ismail Sabri berkata, makanan tradisional juga perlu berterusan dipromosikan dan antara ruang yang tersedia adalah melalui program homestay. – HUSIN IBRAHIM