KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Tourism Pahang komited memberikan sokongan dan membantu pelukis di negeri ini mempamerkan karya seni mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata ini kerana pelukis Pahang boleh menjadi pemangkin kepada aktiviti seni dan secara tidak langsung membawa nama Pahang dalam peta pelancongan global.
Katanya, Pahang mempunyai ramai pelukis samada bergerak secara dalam kumpulan pelukis antaranya Rajawali dan Senika.
“Malah, ada yang menempah nama di peringkat global, sekali gus menjadi duta kecil membawa nama Pahang,” katanya pada Program Solo 8, Siri Puisi Rentas Ahmad Nazrin Mohamed Noor di ARTic Gallery, Arked MARA Gambut, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.
Kata Mohd Sharkar lagi, pameran itu akan berlangsung selama enam minggu yang bermula 15 November lalu.
“Ini adalah platform bagi anak seni mempamer dan meluahkan hasil karya seni mereka kepada masyarakat berdasarkan satu-satu tema yang dipilih,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN