KUANTAN: Sambutan Deepavali berkonsepkan tema ‘Keluarga Malaysia’ mampu menarik perhatian dalam kalangan komuniti setempat, kata penyandang kerusi Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.
Katanya, penganjuran rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan antara masyarakat yang sedia terjalin selama ini.
“Sudah pasti pelbagai perayaan disambut di negara kita sejak sekian lama, menjadi pemangkin kepada kesejahteraan, kemakmuran dan merapatkan lagi kesepaduan dalam kalangan masyarakat.
“Kita harap tradisi ini dikekalkan dan diteruskan kerana ia juga menjadikan negara kita lebih unik dan menarik berbanding tempat lain,” katanya ketika ditemui media ketika menghadiri rumah terbuka Deepavali di kediaman Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Paya Besar, Selvarajah Narayanasamy di Taman Tas, dekat sini, hari ini.
Turut menyertai Mohd Shahar pada majlis itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Paya Besar, Dato’ Mohd Zaili Besar.
Sementara itu, ditanya mengenai kerusi Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar berkata, buat masa ini beliau belum dapat memberikan sebarang komen.
“Hari ini kita sambut dulu Deepavali, kita raikan kemenangan selepas kira-kira dua tahun tak dapat kunjung-mengunjung disebabkan COVID-19,” katanya. – KHALEEF FITRI