Tuah anak kembar

Tuah anak kembar

KUANTAN: “Alhamdulillah, rezeki anak kembar,” demikian reaksi Nur Alia Farhanis Abd Mubi, 22, dari Sungai Isap di sini, sebaik ditanya perasaannya menerima inisiatif Pahang Pride Kid 2022 yang disampaikan sendiri YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Nur Alia Farhanis berkata, kegembiraan ketika mendapat anak kembar, Muhammad Rayyan Mikael Muhammad Haris dan Muhammad Firash Mikael tiga bulan lalu masih belum reda dan ditambah pula dengan inisiatif diterima itu.

Anak Kebanggaan Pahang 2022 (Pahang Pride Kid 2022), Raja Marissa Arabella Raja Muhammad Al Amin, 4 bulan, bersama ibunya Seri Nur Asmahanim Mohammed, 23. Gambar oleh Mustaffa Kamal

“Gembira dapat anak kembar masih segar sampai sekarang, apatah lagi kali ia pengalaman pertama melahirkan. Saya dan suami (Muhammad Haris Zakaria, 22) amat  bersyukur atas segalaa kemudahan yang diberikan ini.

“Alhamdulillah, rezeki anak kembar. Terima kasih banyak-banyak kepada MB (Wan Rosdy),” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang pada Majlis Pelancaran Program Anak Kebanggaan Pahang 2022 (Pahang Pride Kid 2022) di Taman Bandar Indera Mahkota di sini, hari ini.

Bagi Seri Nur Asmahanim Mohammed, 23, dia amat berharap bayinya, Raja Marissa Arabella Raja Muhammad Al Amin yang lahir pada 3 Februari lalu akan membesar dan benar-benar menjadi kebanggan Pahang suatu hari nanti.

Ibu muda itu juga tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila bayi keduanya itu diraikan Kerajaan Pahang menerusi inisiatif yang disampaikan pada majlis itu.

“Syukur dan terima kasih saya dan suami (Raja Muhammad Al Amin Raja Zahri, 25) ucapkan kepada Kerajaan Pahang dan YAB MB (Wan Rosdy) atas hadiah yang diterima ini,” katanya.

Program Pahang Pride Kid 2022 diumumkan Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan 2022 Pahang di DUN Pahang pada Disember tahun lalu.

Ia membabitkan pemberian secara ‘one-off’ kepada semua bayi yang lahir tahun ini dengan syarat warga Malaysia yang lahir di Pahang.

Pada majlis itu, Wan Rosdy turut mengumumkan Kerajaan Pahang bersetuju menambah insentif program Pahang Pride Kid daripada RM200 kepada RM300 untuk setiap bayi yang lahir di bumi Pahang bermula tahun depan. – HELMY ABD RAHMAN