PEKAN: Dua ratus murid dan pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis menerima Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) Yayasan Pahang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Dato’ Khairuddin Mahmud berkata, penerima terdiri murid dan pelajar daripada keluarga B40 yang menetap beberapa kampung tradisional di daerah ini.
Menurutnya, bantuan kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang itu bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah menjelang pembukaan sesi persekolahan 2022, pada 21 Mac ini.
Katanya, bantuan berkenaan bukti keprihatinan Kerajaan Pahang bawah kepimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa memikirkan nasib rakyat disemua peringkat.
“Saya berharap BSR dan BSM ini dapat digunakan sepenuhnya untuk membeli kelengkapan persekolahan setiap penerima,” katanya pada Majlis Penyampaian BSR dan BSM di Dewan Terbuka Kampung Pelak, di sini, semalam. – MOHD IMRAN IZZAD