Tuah calon SPM yang dapat semua A

Tuah calon SPM yang dapat semua A

KUANTAN: Tiga ratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Pahang yang cemerlang memperoleh keputusan semua A, masing-masing menerima RM1,000 daripada Kerajaan Pahang.

Insentif itu diumumkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail selepas mengadakan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), semalam.

Wan Rosdy berkata, insentif itu membabitkan implikasi kewangan RM300,000.

Katanya, sumbangan itu adalah penghargaan Kerajaan Pahang di atas segala usaha, penat lelah, kesukaran dan ketekunan calon yang terpaksa belajar dalam suasana penuh cabaran termasuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) akibat pandemik Covid-19.

“Tiga ratus daripada 17,008 calon yang mengambil peperiksaan SPM 2021 di negeri ini memperoleh keputusan gred A dalam semua mata pelajaran yang  diumumkan pada 16 Julai lalu.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Wan Rosdy turut berterima kasih juga kepada tenaga pengajar dan ibu bapa yang tidak jemu mencurahkan ilmu demi kejayaan semua pelajar terbabit.

“Selamat maju jaya kepada semua pelajar cemerlang ini dan semoga berjaya dalam bidang yang diceburi pada masa depan,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN