Tuah kembar tak seiras

Tuah kembar tak seiras

KUANTAN: Meskipun dilahirkan kembar 18 tahun lalu, M Kirthika dan kakaknya, Kirthana mempunyai minat dan kecenderungan berbeza termasuk subjek yang dipelajari di sekolah.

Kirthika meminati subjek biologi, manakala Kirthana pula sejarah, namun kedua-duanya menjadikan perbezaan minat itu sebagai kelebihan sehingga kembar tidak seiras berkenaan memperoleh 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

“Kami sering melakukan pelbagai hal bersama-sama, tapi sejak kecil lagi minat kami memang berbeza. Tapi kami tak jadikan perbezaan itu satu kekurangan sebaliknya masing-masing saling membantu untuk kami sama-sama cemerlang dalam SPM.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan  Ismail  menyampaikan sumbangan pelajar cemerlangan SPM 2021  di Dewan Jubli Perak  Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan

“Saya meminati subjek sains dan biologi, manakala Kirthana pula sejarah. Jika saya tak faham sesuatu berkaitan subjek sejarah, saya tanya kepadanya dan begitu juga sebaliknya,” kata Kirthika kepada Fikrah Pahang.

Pasangan kembar berasal dari Tanah Rata, Cameron Highlands itu ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM 2021 Kerajaan Pahang 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Jalan Teluk Sisik di sini, hari ini.   

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan  Ismail (tengah) bergambar selepas menyampaikan sumbangan pelajar cemerlang SPM 2021, guru cemerlang mengikut matapelajaran dan 15 PIBG terbaik dalam memberi kerjasama kepada pengurusan sekolah di Dewan Jubli Perak  Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan

Kirthana berkata, dia bercadang menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang, manakala Kirthika pula dalam bidang biologi.

“Saya ingin jadi peguam dan Kirthika pula nak jadi ahli biologi,” kata Kirthana ketika ditanya mengenai cita-citanya. 

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan  Ismail  menyampaikan sumbangan insentif kecermelangan PIBG kepada Yang DiPertua PIBG, SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan, Shahrizal Husin  di Dewan Jubli Perak  Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan

Kedua-dua mereka yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands, ditemani ayah, K Mogan, 50, dan ibu, Amuthamalar, 46. 

Sementara itu, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata program hari ini membabitkan pemberian insentif sebanyak RM484,000 kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang selain Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta guru-guru yang bertanggungjawab terhadap kejayaan dalam SPM, baru-baru ini.

“Melalui insentif ini, 418 pelajar cemerlang membabitkan sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia seramai 300 orang, Maktab Rendah Sains MARA (91 orang), Sekolah Menengah Agama Negeri (14 orang) dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (13 orang) akan menerima tunai RM1,000 setiap seorang.

“Manakala 21 guru subjek terbaik membabitkan 10 daripada sekolah KPM dan SMAN (11 orang) turut menerima insentif RM1,000 setiap seorang, manakala 15 PIBG cemerlang meliputi 11 PIBG sekolah KPM, tiga  dari SMAN dan satu lagi dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang akan menerima insentif RM3,000,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Dato’ Mustapa Long dan Pengarah Pendidikan negeri, Mohammad Rosli Abdul Rahman.

– HELMY ABD RAHMAN