‘Tuanku begitu prihatin dan menyayangi rakyat Pahang’

‘Tuanku begitu prihatin dan menyayangi rakyat Pahang’

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustafa Kamal

TEMERLOH: Hanya perasaan sebak dan titisan air mata dapat menggambarkan betapa terharunya Ramlah Hitam, 81, tatkala menerima kediaman baharu sumbangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Warga emas itu adalah seorang daripada tiga mangsa banjir di daerah Temerloh yang menerima Rumah Bantuan Banjir bernilai hampir RM100,000.

Anak bongsu Ramlah, Siti Rokiah Zainal Abidin, 52, berkata ibunya amat terharu dan sebak setiap kali teringat sumbangan rumah baharu itu.

“Bila buka cerita rumah baharu yang disumbangkan Al-Sultan Abdullah, pasti mengalir air mata emak kerana tak dapat menahan sebak.

“Dia (Ramlah) juga sering memuji betapa baiknya dan pemurahnya baginda Tuanku yang begitu prihatin dan menyayangi rakyat Pahang,” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan Rumah Bantuan Banjir milik Ramlah di Kampung Lompat di sini, hari ini.

Menceritakan mengenai musibah banjir yang berlaku awal tahun ini, Siti Rokiah berkata, air naik terlalu cepat dan menenggelamkan rumah pusaka yang didiaminya itu.

“Kejadian banjir kali ini lebih teruk daripada 2014 kerana bila kami pulang dari pusat pemindahan banjir, rumah lama macam dah nak runtuh, lantai terpelesok (reput) tak boleh nak pijak,” katanya.

Al-Sultan Abdullah yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah sempat bercemar duli melawat pembinaan kediaman baharu Ramlah, hari ini.

Baginda berdua kemudian berangkat bercemar duli melawat dua lagi penerima Rumah Bantuan Banjir di Kampung Sungai Dingin serta Kampung Pengkalan Manggis, di sini.