Tuck, Aguero dah boleh main untuk Pahang 

Tuck, Aguero dah boleh main untuk Pahang 

KELAB Bolasepak Sri Pahang (SPFC) berterima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang membenarkan Lee Tuck dan Sergio Aguero beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

Biarpun akan beraksi dalam saingan Piala Malaysia, kelulusan yang diberikan kepada dua pemain naturalisasi itu begitu bermakna buat Sri Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Dato’ Mohammed Suffian Awang, berkata keputusan itu amat menggembirakan pengurusan kelab itu.

“Terima kasih kepada MFL kerana meluluskan Tuck dan Aguero bermain musim ini. Oleh itu, aksi dua pemain ini dapat dilihat dalam saingan Piala Malaysia nanti,” katanya.

MFL dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan rayuan SPFC untuk mendaftarkan pemain naturalisasi Tuck dan  Aguero sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga M 2022 diluluskan.

Keputusan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL dan pendaftaran Tuck yang dilahirkan di Huddersfield, England serta Aguero dari Argentina, akan berkuat kuasa pada pertandingan Piala Malaysia 2022.

Sebelum ini, Sri Pahang mendaftarkan Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan dalam tempoh pendaftaran kedua pada 28 Mei hingga 24 Jun lalu.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN