Tuduhan Maszlee tak berasas, kata Syed Ibrahim

Tuduhan Maszlee tak berasas, kata Syed Ibrahim

KUANTAN: “Orang semua tahu MB (YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) turun padang, tiap-tiap hari (dari) pagi sampai malam dan sampai hari ni banjir dah kering pun masih bincang macam mana nak bantu rakyat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad,

Beliau berkata demikian membidas tuduhan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang mempersoalkan ketiadaan Wan Rosdy ketika banjir melanda Pahang dan memuji Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang baginya turun menyelamatkan mangsa banjir. 

Syed Ibrahim berkata, tuduhan dilemparkan Maszlee langsung tidak berasas kerana Wan Rosdy bertungkus-lumus untuk membantu rakyat Pahang yang terjejas sejak hari pertama banjir melanda negeri ini.

“MB kita (Pahang) bertungkus-lumus ke hulu dan ke hilir negeri untuk meninjau keadaan mangsa banjir dan kemudian fikir pula bagaimana caranya nak bantu ringankan beban mangsa banjir… orang yang rosak kenderaan, perabot dan bermacam-macam lagi.

“Tup tup (tiba-tiba) datang dia (Maszlee) cari salah orang, memburukkan orang lain dengan tuduhan tidak berasas,” katanya kepada Fikrah Pahang selepas Majlis Sambutan Haul Saidatina Fatimah Az Zahra’ di Al Madrasah Al Mustofawiyyah Al Alamiyyah, Indera Mahkota di sini, malam tadi.

Menurut Syed Ibrahim lagi, tuduhan Maszlee itu membuatkan rakyat jelak dan muak dengan perangai sesetengah ahli Parlimen sepertinya.

“Sepatutnya Parlimen jadi tempat membincangkan masalah rakyat, ini tidak, dituduhnya (Wan Rosdy) bukan bukan.

“Perbuatan Ahli Parlimen Simpang Renggam ini sebenarnya merugikan dirinya sendiri,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN