Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh mengakui tugas getir bakal dihadapi pasukan itu apabila bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam esok.
Beliau berkata, pada masa sama, pasukan lawan itu berada pada prestasi terbaik ketika Sri Pahang masih lagi tercari-cari rentak terutama bagi melakarkan kemenangan.
Katanya, keputusan perlawanan yang lebih berpihak kepada Penang dalam saingan Liga Super memerlukan perancangan dalam usaha menyekat tuan rumah daripada mengutip mata.

“Namun, saya percaya dengan semangat dan komitmen, pemain mampu untuk memastikan pasukan membawa pulang mata.
“Biarpun Penang dilihat memiliki rekod lebih baik, tiada yang mustahil untuk meletakkan Sri Pahang kembali berada pada prestasi terbaik,” katanya.
Ditanya barisan pemain yang bakal disenaraikan malam esok, Dollah berkata, prestasi bertenaga yang dipersembahkan Abdul Malik Mat Ariff akan menyaksikan pemain itu bakal mengetuai jentera serangan pasukan.
Katanya, kehadiran Abdul Malik sememangnya dinantikan selepas jentera serangan gagal melakukan penyudah untuk membantu pasukan melakar kemenangan.
“Saya harap Abdul Malik serta pemain lain dapat mempamerkan persembahkan menyakinkan ketika pasukan amat memerlukan kemenangan dalam usaha memperbaiki kedudukan.
“Begitu juga kembalinya Herold Goulon yang diharap mengukuhkan jentera pertahanan,” katanya.