Tuisyen Rakyat di 25 sekolah di Pahang

Tuisyen Rakyat di 25 sekolah di Pahang

LIPIS: Sekurang-kurangnya 25 sekolah menengah luar bandar menerima bantuan Tuisyen Rakyat, Yayasan Risda membabitkan peruntukkan RM312,500 yang memberi manfaat kepada 375 pelajar di Pahang. 

Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah itu sebahagian daripada RM2.5 juta yang diperuntukkan  bagi pelaksanaan Tuisyen Rakyat membabitkan 200 pusat tuisyen dengan 3,000 pelajar  luar bandar di seluruh negara.

Beliau berkata, kelas bimbingan tambahan melalui Yayasan Risda itu membabitkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah.

Abdul Rahman berkata, empat pusat tuisyen dipilih di Lipis untuk melaksanakan Tuisyen Rakyat iaitu di SMK Benta, SMK Setiawangsa, SMK Sungai Koyan dan SMA Padang Tengku membabitkan 60 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. 

“Melalui program ini, pelajar dapat meningkatkan tahap pencapaian akademik selari dengan hasrat kerajaan untuk kumpulan sasar sebagai pemangkin kecemerlangan modal insan generasi pekebun kecil,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian Bantuan Persekolahan dan Program Tuisyen Rakyat Risda peringkat daerah Lipis di Dewan Jubli Perak, di sini. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, adalah menjadi harapan KPLB agar program itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pelajar terbabit.

Sementara itu, 369 pelajar dari tujuh sekolah daerah ini menerima Bantuan Persekolahan Yayasan Risda dengan peruntukkan keseluruhan RM73,800. – MUHAMMAD NAJMIE