Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Kampung Darat Sungai Ular, di sini, musnah dalam insiden kebakaran kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Mangsa, Nurul Syahira Mat Rahim, 25, berkata ketika kejadian, hanya ibu mentua, Fatimah Abdullah, 71, bersama empat anaknya berusia lima bulan hingga tiga tahun berada di rumah.
“Saya dan suami (Suhainizan Saman, 31) tiada di rumah kerana pergi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dos kedua di PPV (Pusat Pemberian Vaksin) Dewan Seri Amal, Kemaman,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.
Nurul Syahira berkata, ibu mentuanya memberitahu, ketika kejadian warga emas berkenaan berada di dapur sebelum anak keduanya, Muhammad Waif Rayyan, 3, tiba-tiba datang dan menangis.
“Anak saya beritahu ada api dan ibu mentua terus memeriksa bilik kami dan mendapati api sudah marak lalu dia terus membawa empat cucunya keluar dari rumah.
“Api merebak dengan cepat sehingga tiada apa yang sempat diselamatkan menyebabkan kami kini tinggal sehelai sepinggang dan kini menumpang sementara di rumah saudara,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan, berkata dua jentera bersama tujuh anggota termasuk dua pegawai diarahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, anggota kami mendapati berlaku kebakaran rumah jenis kekal dan kebakaran memusnahkan kira-kira 70 peratus namun tidak membabitkan mangsa.
“Pasukan bomba melakukan operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran hos dan dua hose reel dari tangki pam jentera,” katanya.