Tujuh daerah catat peningkatan kes baharu di Pahang

Tujuh daerah catat peningkatan kes baharu di Pahang

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: Tujuh daerah mencatatkan peningkatan kes baharu jangkitan COVID-19 di Pahang yang kembali mencatatkan tiga angka kepada 131 kes sehingga jam 5 petng tadi, berbanding 50 kes semalam.

  Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, daripada jumlah itu, Lipis mencatatkan angkat tertinggi iaitu sebanyak 40 kes.

  “Ia diikuti Temerloh sebanyak 38 kes, Kuantan (24 kes), Bentong (11 kes), Bera (sembilan kes), Raub (lima kes) dan Jerantut (empat kes).

  “Ini menjadikan jumlah kes terkumpul di Pahang setakat ini sebanyak 12,211 kes,” katanya.

  Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, malam ini.

  Menurutnya, sebanyak 91 kes membabitkan rakyat tempatan manakala 40 lagi warga asing. Sebanyak 130 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan satu kes import dari Kuala Lumpur.

  “Terdapat 86 kes diperoleh daripada saringan kluster, 40 saringan kontak rapat, empat saringan bergejala dan satu saringan bersasar,” katanya.

  Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan terdapat dua kes kematian baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjadikan jumlah kematian terkumpul di Pahang kini sebanyak 114 kes.

  “Bagaimanapun hanya kes ke-113 sahaja dilaporkan KKM kerana kes ke-114 meninggal dunia disebabkan oleh penyakit lain (leukemia).

  “Kes ke-113 membabitkan warga emas lelaki Melayu berusia 70 tahun dari Taman Seri Mahkota Jaya, Batu 11, Jalan Gambang, Kuantan, manakala kes ke-114 pula seorang warga emas lelaki Melayu berusia 78 tahun dari Felda Mayam, Bera. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya.