Tujuh parit dibina untuk halang penceroboh HSK Batu Talam

Tujuh parit dibina untuk halang penceroboh HSK Batu Talam

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

RAUB: Tujuh parit setiap satunya sepanjang 0.9 meter dan berkedalaman 1.52 meter dibina bagi menghalang kejadian menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, di sini, tidak berulang pada masa akan datang.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad berkata, dua parit dibina bagi memutuskan laluan utama masuk ke kawasan terbabit dan lima lagi dibuat di beberapa tempat dalam kawasan bekas kebun  durian Musang King yang ditanam secara haram dalam HSK berkenaan.

RAUB..Parit sepanjang 0.9 meter dan 1.52 meter dalam dibina bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawap  menceroboh Hutan Simpan Kekal Batu Talam selepas selesai Operasi Pamah.

Menurutnya, kerja membina parit terbabit menggunakan jengkaut dan mengambil masa dua hari selepas kerja menanam pokok hutan selesai sepenuhnya Sabtu lalu.

Katanya, pembinaan parit terbabit diibaratkan umpama upacara penutup Operasi Pamah yang bermula 3 Julai lalu membabitkan kawasan HSK Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram.

“Kita berharap dengan adanya tujuh parit besar itu, HSK Batu Talam tidak lagi diceroboh pihak tidak bertanggungjawap yang hanya mementingkan diri sendiri menerusi projek pertanian yang diusahakan.

“HSK ini adalah kawasan tadahan air yang menjadi sumber bekalan air kepada penduduk daerah ini,” katanya di sini, semalam.

Shahril berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan berkenaan selepas ini dengan menggunakan dron bagi memastikan tiada lagi pihak bertindak menceroboh hutan simpan berkenaan untuk apa juga tujuan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali berkata, pihaknya menanam sebanyak 19,293 batang pelbagai spesies  pokok hutan antaranya Merawan, Meranti, Balau dan Keruing.

“Kita juga menanam sebanyak 610 spesies pokok nadir membabitkan 200 pokok sentul dan 410 tampoi berusia enam bulan hingga setahun yang ditanam secara selerak dalam kawasan HSK Batu Talam yang mempunyai bentuk muka bumi berbukit.

“Kerja menanam pokok dilakukan kakitangan JPNP membabitkan semua daerah dan aktiviti itu berjalan lancar dengan pengawasan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut sama menyertai Operasi Pamah,” katanya.

Operasi Pamah membabitkan kerja-kerja memusnahkan kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 101 hektar bertujuan untuk mengekalkan kawasan tadahan air di daerah ini.