Tujuh sungai di Pahang lepas paras bahaya tengah hari ini

Tujuh sungai di Pahang lepas paras bahaya tengah hari ini

KUANTAN: Tujuh sungai di Pahang merekodkan bacaan air melepasi paras bahaya, pada tengah hari ini, berbanding empat sungai, semalam.

Menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kesemua sungai berkenaan adalah tiga sungai di Lipis manakala masing-masing satu di Jerantut, Temerloh, Bera dan Maran.

Sungai terbabit ialah Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, di Lipis yang merekodkan bacaan 99.67 meter berbanding paras bahaya 99.50m.

Sungai Jelai di Jeti Lipis pula merekodkan 66.14m berbanding 62m dan Sungai Lipis di Benta pula kini 75.08 m berbanding 73.50m.

Ia diikuti Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut dengan catatan 45.82m berbanding paras bahaya 41m dan Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh, 40.11m berbanding 36.50m.

Turut lepasi paras bahaya ialah Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera, dengan catatan 32.39m berbanding paras bahaya 29.70m serta Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran, dengan catatan 28.49m berbanding 28m.

Selain itu, tujuh sungai mencatatkan bacaan melebihi paras amaran manakala paras waspada pula membabitkan enam sungai. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN