Tukun baru di Cherok Paloh buat kaki pancing, nelayan tempatan

Tukun baru di Cherok Paloh buat kaki pancing, nelayan tempatan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Jabatan Perikanan (DOF) Pahang, hari ini, menurunkan 10 tukun tiruan konkrit jenis ‘kuboid juvenil’ di perairan Cherok Paloh, di sini.

Jarak kawasan tukun tiruan dengan pantai adalah kira-kira 4.5 batu nautika dan diturunkan kira-kira 15 meter di dasar laut. 

Tukun tiruan di perairan Cherok Paloh itu dijangka memberi faedah kepada lebih 2,058 nelayan tradisi berdaftar di Zon A di Pahang.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata DOF sudah melabuhkan 262 tukun tiruan 13 tahun lalu, termasuk di Cherating, Rompin, Pekan dan Pulau Tioman

yang membabitkan peruntukan lebih RM4.4 juta.

“Tukun paling banyak diturunkan pada 2007 iaitu membabitkan 60 unit,” katanya pada program melabuhkan 10 unit tukun tiruan jenis ‘kuboid juvenil’ di perairan Cherok Paloh, di sini, hari ini.

KUANTAN..Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar (tengah) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin (kiri) dan Pengurus Besar Tourism Pahang,  Kamaruddin Ibrahim pada 
program melabuhkan 10 unit tukun tiruan jenis ‘Kuboid Juvenil’ di perairan Cherok Paloh.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Abdullah berkata, tukun tiruan amat sesuai berada di perairan Pahang yang bertindak sebagai serampang dua mata iaitu habitat pembiakan pelbagai jenis ikan dan penghalang aktiviti pukat tunda nelayan asing. 

“Kita juga yakin kawasan tukun ini akan menjadi syurga kaki pancing dan membantu sektor pelancongan negeri. Ia secara langsung akan memberi pendapatan tambahan buat pengusaha bot memancing,” katanya.