Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Jabatan Perikanan Negeri Pahang akan menurunkan 10 unit tukun tiruan jenis Konkrit Kuboid Juvenil di perairan kira-kira 4.5 batu nautika dari Pantai Kampung Cherok Paloh, di sini.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata program melabuhkan tukun bernilai RM325,000 akan diadakan Isnin depan.
Menurutnya, penggunaan tukun tiruan bukan sahaja menjadi habitat pelbagai jenis ikan berkualiti tinggi tetapi juga sebagai penghalang aktiviti pukat tunda di kawasan terbabit.
“Kerja membina 10 unit tukun tiruan dilakukan di kawasan Pejabat Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber di Teluk Gading, Tanjung Gemok, Rompin, bermula Julai lalu. Kini, kerja menempatkan tukun ke atas tongkang sedang dilakukan,” katanya.
Abdullah berkata, jabatan menurunkan 262 tukun tiruan konkrit di beberapa kawasan perairan di Pahang seperti di Cherating,Rompin, Pekan dan Pulau Tioman sepanjang 13 tahun kebelakangan ini.
“Paling banyak dilabuhkan pada 2007 dan ia membabitkan 60 tukun tiruan jenis Rekreasi. Tahun lalu, 16 tukun jenis Kuboid dilabuhkan di perairan Pekan, dekat Kampung
Nenasi.
“Setiap tahun jabatan akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi menyediakan tukun tiruan dalam usaha menambah pendapatan nelayan di samping dapat meningkatkan lagi sektor pelancongan menerusi aktiviti memancing,” katanya.