Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yussof
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustaffa Kamal
KUANTAN: “Saya tak dapat tahan perasaan sehinggakan masa tulis surat, berjujuran air mata kegembiraan,” luah Roslina Rusli, dari Kampung Gali Hilir, Raub.
Ibu kepada empat anak berusia antara tujuh hingga 22 tahun itu terharu apabila Kerajaan Pahang meluluskan permohonannya untuk mendapatkan Rumah Rakyat Pahang (RRP).
Demi menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga, dia mengutuskan surat tulisan tangan untuk mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang dikarang menggunakan helaian kertas daripada buku latihan sekolah anaknya.
Usahanya itu mendapat penghargaan kerajaan negeri khususnya Menteri Besar dan wanita itu diraikan Menteri Besar pada Majlis Pelancaran Rumah Rakyat Pahang 2021 di sini, semalam.
Pada majlis itu, dia dihadiahkan momento yang terkandung surat karangannya serta surat jawapan balas Wan Rosdy.
Roslina, 44, berkata dia tidak menyangka usahanya itu mendapat perhatian pihak kerajaan negeri sehingga diraikan sebegitu rupa.
“Masa karang surat itu, saya kurung diri dalam bilik sebab tak mahu sesiapa nampak. Sambil tulis, sambil menitis air mata kerana berasa amat bersyukur.
“Maklumlah, dah lama saya inginkan rumah sendiri, malah dah 12 tahun isi borang e-Kasih. Nak beli rumah memang tak mampu kerana saya dan suami cuma bekerja kampung, apatah lagi sepanjang tahun lalu kami tiada langsung pendapatan kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya ketika dihubungi Fikrah Pahang, hari ini.
Menurutnya, dia mendapat tahu layak menerima RRP pada pertengahan Ramadan tahun lalu dan kediamannya itu siap sepenuhnya pada 27 Disember 2020.
“Sejak dapat tahu layak menerima RRP, terlalu sering sangat saya menangis kerana terlalu gembira. Sejak mula berkahwin pada 1998, inilah antara detik paling berbahagia untuk kami sekeluarga.
“Terima kasih tak terhingga kepada MB (Menteri Besar), semoga Allah panjangkan usianya,” katanya.