Tumpu vaksinasi 42,875 pelajar tingkatan 4 dan 5

Tumpu vaksinasi 42,875 pelajar tingkatan 4 dan 5

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com 

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menyasarkan 42,875 remaja berumur 16 dan 17 tahun selesai menerima vaksin dos pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja Pahang, pada 30 September ini.

Pengarahnya, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus, berkata sekurang-kurangnya 173,000 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun terbabit dalam PICK di Pahang.

Bagaimanapun, katanya, hanya 42,875 remaja berumur 16 dan 17 tahun terbabit dalam PICK di Pahang, bermula 20 September.

“Dua puluh dua pusat pemberian vaksin (PPV) awam, 44 institusi pendidikan dan empat Klinik Kesihatan beroperasi bagi program vaksinasi remaja.

“Kita perlu memberi vaksin kepada remaja ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam populasi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di PPV Wisma Belia, Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Katanya, lebih seribu pelajar tingkatan empat dan lima menerima dos pertama membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih, SMK Indera Mahkota 2 dan SMK Bukit Sagu, di PPV Wisma Belia.