Tunggu pengumuman PM esok – Mohd Redzuan

Tunggu pengumuman PM esok – Mohd Redzuan

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: “Insya-Allah ada pengumuman esok, apa pun kita tunggu lah,” demikian reaksi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dato’ Sri Mohd Redzuan Md Yusof, ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri seperti dilapor Berita Harian Online, hari ini. 

Perkara itu dimaklumkan Mohd Redzuan kepada media selepas mesyuarat MPT di Publika, di sini, hari ini.

Katanya lagi, mesyuarat berkenaan membincangkan ke arah dan bentuk yang akan terjadi kepada kerajaan seandainya Perdana Menteri meletakkan jawatan.

“Perdana Menteri sudah meneliti beberapa pilihan dan langkah diambil semuanya semata-mata demi kepentingan rakyat terhadap krisis hari ini.

“Meletak jawatan adalah pilihan terakhir,” kata Ahli Parlimen Alor Gajah itu.

Difahamkan, mesyuarat MPT BERSATU itu yang dipengerusikan Muhyiddin, berlangsung selama dua jam.

Hadir sama, Timbalan Presiden parti, Dato’ Sri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli MPT, Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Dato’ Saifuddin Abdullah, Dato’ Zuraida Kamaruddin, Dato’ Kamarudin Jaafar, Dato’ Mansor Othman, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali dan Dato’ Mohd Rashid Hasnon.

Sementara itu, portal Malaysiakini melaporkan, Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

Menurut portal itu lagi, perkara itu disahkan oleh Mohd Redzuan.