UAE bantu Kerajaan Pahang bina rumah Ru’RASA

UAE bantu Kerajaan Pahang bina rumah Ru’RASA

KUANTAN: Kerajaan Pahang dengan kerjasama Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan melaksanakan Projek Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) yang memberi fokus kepada pemilikan rumah untuk golongan B40 di negeri ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata RM75 juta diperuntukan oleh Kerajaan UAE bagi membina 790 unit rumah dalam empat tahun dan projek itu akan berakhir 2025. 

“Pembinaan 790 unit rumah ini akan dilaksanakan secara berfasa bermula tahun ini dan dijangka selesai pada 2025,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Bagi tahun ini, 174 unit rumah akan dibina dengan anggaran kos RM14.3 juta, diikuti 264 unit rumah berjumlah RM27.8 juta pada 2023, 174 unit rumah berjumlah RM14.25 (2024) dan 178 unit rumah berjumlah RM14.65 juta pada 2025. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN