UCYP jalin hubungan dengan RSOG dan UniKL

UCYP jalin hubungan dengan RSOG dan UniKL

KUANTAN: University College of Yayasan Pahang (UCYP), kelmarin menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Razak School of Government (RSOG) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang akademik, kemahiran dan kepimpinan.  

Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP,  Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur, berkata hubungan strategik antara UCYP dan RSOG bakal memberi impak signifikan terutamanya untuk memperkasakan kepimpinan dan tadbir urus bagi generasi akan datang. 

“Persepakatan dijalin antara lain membabitkan program pasca siswazah pengurusan perniagaan UCYP dan kursus kepimpinan jangka pendek.

“Kerjasama ini juga membabitkan perkongsian pakar dan pensyarah sebagai pensyarah pelawat serta jurucakap jemputan bagi program pasca siswazah pengurusan perniagaan UCYP termasuk jurulatih kursus kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis MoU antara UCYP dengan RSOG dan UniKL di Auditorium Kampus Utama UCYP Tanjung Lumpur, di sini, kelmarin

Menurutnya, pembabitan warga UCYP dan RSOG dalam aktiviti dianjurkan kedua-dua pihak dijangka dapat meningkatkan ilmu dan kemahiran kakitangan.

“Jalinan hubungan strategik antara UCYP dan UniKL pula berkait rapat dengan kejuruteraan kualiti, logistik, kejuruteraan instrumentasi dan kawalan; kejuruteraan penyelenggaraan, operasi minyak dan gas,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD