UCYP jalin kerjasama dengan UPM

UCYP jalin kerjasama dengan UPM

KUANTAN: Universiti College of Yayasan Pahang (UCYP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang akademik, penyelidikan dan idea dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Dewan Yayasan Pahang, di sini, kelmarin.

Hadir sama Naib Canselor UCYP, Prof Dato’ Dr Ahmad Zainuddin dan Naib Canselor UPM, Prof Dato’ Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Dr Ahmad berkata, kolaborasi antara UCYP dan UPM turut merangkumi bidang berkaitan hal ehwal pelajar dan komuniti selain pelbagai perkara lain yang sesuai dan mendatangkan manfaat kepada kedua belah pihak.

“Sebagai anak syarikat Yayasan Pahang, kami diberi mandat untuk mengusahakan projek kelestarian alam sekitar dan pelancongan dengang mengoptimumkan kapasiti ruang tanah di Pahang.

“Justeru, kepakaran UPM akan digunakan bagi merealisasikan matlamat berkenaan. Saya juga yakin kerjasama ini mampu memberikan hasil terbaik kepada kami dalam jangka masa panjang,” katanya.

Majlis itu diadakan serentak dengan pelancaran Pahang Ecology Research Centre (PERC) yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komuniti Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin. – MOHD IMRAN IZZAD