UIAM bantu hantar 254 penuntut pulang ke kampung halaman

UIAM bantu hantar 254 penuntut pulang ke kampung halaman

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: “Hampir setahun saya tak pulang ke kampung jumpa mak dan ayah, rasa memuncak rindu pada mereka,” kata Nurul Ezam Asri Hasmat, 21.

Dia antara 254 penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan yang berpeluang pulang ke kampung di Kuching, Sarawak, semalam.

Lebih menggembirakan lagi apabila pihak pengurusan universiti tampil menyediakan kemudahan pengangkutan untuk menghantar semua pelajar ke destinasi masing-masing.

Nurul Ezam yang belajar dalam jurusan kejururawatan berkata, tahun ini dia menyambut Aidilfitri dan Aidiladha bersama rakan-rakan di asrama apabila tidak berpeluang pulang ke kampung berikutan penularan wabak COVID-19 hingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku pada diri sendiri termasuk keluarga, langkah terbaik diambil dengan tidak pulang ke kampung.

“Apabila pihak universiti membuka peluang kepada penuntut pulang ke kampung sempena cuti semester, saya antara terawal mendaftar dan membuat persiapan.

“Saya tak sabar bertemu mak dan ayah selepas hampir setahun tidak bersua muka. Walaupun terpaksa menjalani kuarantin selama dua minggu, ia bukan masalah, yang penting dapat melepaskan rindu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kampus (Pembangunan Pelajar), Prof Madya Dr Razman Mohd Rus berkata, pihaknya mengambil keputusan menghantar 254 penuntut menggunakan 10 bas dan sebuah van bagi memudahkan mereka sampai ke destinasi masing-masing.

“Program menghantar pelajar UIAM kampus Kuantan pulang ke kampung bermula tahun lalu terutama apabila ramai pelajar berdepan dengan masalah pengangkutan berikutan PKP.

“Pihak universiti mengambil keputusan ini demi keselesaan penuntut yang rata-rata sudah lama tidak dapat pulang ke kampung bertemu keluarga,” katanya selepas melepaskan konvoi menghantar pelajar, di sini semalam.

Katanya, seramai 368 penuntut termasuk 12 dari Sabah dan Sarawak yang sedang bercuti semesta dibenarkan pulang ke kampung.

“Seramai  254 daripada mereka menaiki bas dan selebihnya menaiki kenderaan sendiri,” katanya.