KUANTAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang menjalinkan kerjasama dengan Majlis Dakwah Negara (MDN) dalam usaha membangunkan dan menambah baik jaringan institusi dakwah di Pahang.
Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof Dr Mohd Ilham Adenan berkata, kerjasama strategik itu tepat kerana akan menjadi platform dalam merealisasikan pondok perdana di Pahang yang dapat menyalurkan maklumat dan pusat repositori subjek berkaitan dakwah.
“Kebetulan pondok perdana di Kampung Awah yang dibangunkan MDN terletak berhampiran UiTM Kampus Jengka. Hanya kira-kira 30 minit perjalanan.
“Kita akan sediakan kemudahan logistik sekiranya pihak MDN ingin mengadakan aktiviti dakwah di pondok perdana,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas UiTM Cawangan Pahang dengan MDN menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Bangi, Selangor, kelmarin.
Mohd Ilham berkata, di sekitar UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka terdapat 25 FELDA dan kerjasama itu akan memberi peluang lebih banyak program keagamaan dianjurkan untuk kebaikan masyarakat setempat. – MOHD IMRAN IZZAD