UiTM Pahang-UHO Indonesia meterai MoU tiga tahun

UiTM Pahang-UHO Indonesia meterai MoU tiga tahun

MARAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang kampus Jengka menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universitas Halu Oleo (UHO), Indonesia, dalam bidang akademik, budaya dan penyelidikan. 

Rektor UiTM  Pahang, Profesor Ts Dr Mohd Ilham Adenan berkata, MoU tiga tahun itu bagi memperkuat ikatan akademik melalui kerjasama ilmiah khusus membabitkan program pertukaran kakitangan dan penuntut. 

Selain itu, katanya, MoU yang dimeterai secara maya itu turut membolehkan penyelidik kedua-dua universiti berkenaan mengembang keupayaan pembangunan dan penyelidikan (R&D).

“Malah, ia dilihat sebagai satu platform bagi perkongsian strategik dan pertukaran idea yang lebih menyeluruh di masa depan,” katanya pada majlis MoU yang dimeterai di antara beliau dan Rektor UHO, Profesor Dr Muhammad Zamrun, di sini, hari ini.

Dr Mohd Ilham berharap MoU itu dapat meningkat dan menyerlahkan ketampakan UiTM  Pahang kampus Jengka di peringkat global.

“Selain itu, kita dapat juga memperkenalkan pengajian UiTM  kepada masyarakat luar terutama warga Indonesia. Ia adalah menjadikan UiTM Pahang unggul dan berdaya saing setaraf dengan universiti lain di Malaysia,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE